kelopak bunga

Sunday, 26 August 2012

7 Eleman Diri untuk Berjaya

Kejayaan sentiasa dicari dan sangat dituntut dalam kehidupan ini. Sesiapa yang tidak sudi kepada kejayaan adalah insan yang agak lemah dah mungkin berputus asa. Ikuti antara elemen-elemen bagaimana untuk anda beroleh sesuatu kejayaan.

1) Sentiasa Mengingati Allah:
Seorang yang berjaya sentiasa memanjatkan syukurnya kepada Allah, segala apa yang mereka peroleh merupakan kurniaan daripada Maha PemurahNya Allah. Insan yang sentiasa berfikir dan mengagumi kebesaran Allah juga merupakan golongan yang bertuah lagi bahagia. Mereka akan mendapat kesejahteraan hidup yang sebenarnya. Ini adalah hadiah terbesar sebagai kejayaan dalam ertikata yang sebenar.

2)Hauskan Ilmu:
Ilmu merupakan kunci kepada lambakan gedung kejayaan bagi setiap manusia. Kejayaan dalam hidup diperolehi kerana mencintai ilmu pengetahuan. Sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meningkatkan taraf pengetahuan yang ada. Sebarang ungkapan ‘jemu atau bosan’ tidak pernah wujud dalam kamus hidup para ilmuan.

3) Berpendirian Tegas:
Berpegang teguh pada prinsip nilai tertentu juga berpendirian tegas sebagai mencerminkan kecemerlangan diri. Ilmu pengetahuan yang penuh di dada tidak akan mudah terpengaruh dengan gejala-gejala negatif kerana ia boleh menghambat lantaran menggagalkan pencapaian matlamat sendiri yang hendak dicapai. Pendirian yang sebaliknya boleh menggambarkan sifat negative seperti :

- Berjiwa kerdil.
- Memiliki sifat-sifat negatif yang menonjol.
- Pengurusan diri yang terabai.
- Pemilikan ilmu dan kemahiran yang cetek.
- Belum terdidik dengan sempurna.


4) Memiliki Personaliti Terpuji:
Seseorang yang mengingini sesuatu kejayaan perlu sentiasa menjaga tingkah laku dan mengawasi setiap tutur katanya agar tidak menyinggung perasaan sesiapa. Setiap pandangan dan pendapat akan diterima dengan fikiran tenang lagi terbuka, dan berusaha mengubah sikap negatif yang ada dalam diri. Juga cuba sedaya upaya untuk menjadikan suasana atau perkara yang negatif kepada yang lebih berfaedah. Inilah yang dikatakan personaliti diri terpuji kerana terdidik dengan ilmu.

5) Miliki Kelaziman Teratur:
Bijaksana dalam mengagihkan masa dengan berkualiti merupakan satu ciri kejayaan cemerlang. Perlu mendisiplinkan diri dengan menepati setiap perancangan secara bersistem memenuhi aturan yang telah ditentukan. Laksanakan dengan keazaman penuh agar matlamat dan objektifnya berjaya.

6)Yakin Terhadap Diri Sendiri:
Ciri asas sesuatu kejayaan ialah ‘yakin terhadap diri sendiri’ dalam setiap amalan hidup. Mereka memiliki kepastian terhadap setiap kerja dan tindakan yang dilaksanakan. Keyakinan sebegini menggerakkan nuraninya untuk sentiasa ingin mencuba sesuatu kebaikan yang baru dengan kepastian kejayaan akan menjelang tiba.

7) Kemahiran Berkomunikasi:
Kebolehan berkomunikasi dengan baik dan teratur kerana berjaya memiliki keyakinan dan menghindarkan perasaan rendah diri. Berpengetahuan terhadap apa yang diperkatakan dan berkeupayaan berfikir secara kreatif dan kritis. Ia adalah kemahiran yang teratur dan dipelajari serta membolehkan seseorang di tahap insan berpendidikan lagi berpengetahuan tinggi.

No comments:

Post a Comment